Food Fest Rasa Fusion & Karnival Belia Madani 2026 Bakal Gegarkan Padang Rengas! Ada Konsert Artis & Makanan Viral

Image
Berita baik buat warga Kuala Kangsar dan kawasan sekitarnya! Jika sebelum ini kita sering melihat festival makanan berskala besar hanya berpusat di bandar-bandar utama, kali ini kemeriahan itu akan dibawa terus ke tempat kita. Bersedialah untuk memanjakan deria rasa anda kerana festival makanan yang ditunggu-tunggu, Food Fest Rasa Fusion , kini sah akan berkampung di Padang Rengas! Ini bukan acara biasa-biasa. Ini adalah festival berskala besar yang bakal menggegarkan Padang Rengas! Buat warga Kuala Kangsar dan kawasan sekitar, bersiap sedia untuk merasai pengalaman luar biasa kerana Rasa Fusion Food Festival 2026 kini bergabung dengan Karnival Belia Madani menjanjikan hiburan non-stop dan syurga makanan buat anda sekeluarga. Berlangsung selama 4 hari berturut-turut dari siang membawa ke malam, acara ini pasti menjadi port wajib singgah untuk hujung minggu anda! Simpan Tarikh Penting Ini! (Save The Date) Jangan tunggu minit terakhir untuk rancang perjalanan anda kerana acara ini di...

Hari Kuale Lenggang Serikan Kuala Kangsar, Bukti Bandar Diraja Kaya Budaya

 


Hari Kuale Lenggang Serikan Kuala Kangsar, Bukti Bandar Diraja Kaya Budaya

KUALA KANGSAR, 21 Sept – Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menyasarkan untuk menjadikan Hari Kuale Lenggang sebagai acara dwitahunan yang mampu menonjolkan bandar diraja ini sebagai pusat budaya, destinasi pelancongan serta komuniti mapan di negeri Perak.

Penganjuran sulung semalam hasil kerjasama MPKK, Visual Motion Lab, Think City dan Yayasan Hasanah itu berjaya menghimpunkan lebih 7,000 orang pengunjung yang membanjiri sekitar Jalan Kangsar.

Yang Dipertua MPKK, Dr. Sakduddin Zamli berkata program ini diinspirasikan daripada Kuale Car Free Day, namun dipelbagaikan dengan aktiviti berbentuk budaya, gaya hidup, sukan dan kesedaran komuniti.

“Hari Kuale Lenggang dapat menonjolkan Kuala Kangsar sebagai destinasi pelancongan utama, selain memberi manfaat ekonomi kepada peniaga tempatan. Ramai yang berterima kasih kerana diberi ruang untuk memperkenalkan produk mereka,” katanya.

Pegawai Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Pelancongan Tourism Perak, Mohd Fauzan Baharudin pula menegaskan acara ini bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI kerana menggabungkan kepelbagaian kaum dalam suasana harmoni.

Aktiviti & Persembahan

Seawal pagi, program dimulakan dengan Lenggang Kuale 5KM Fun Run dan Kayuhan Santai Kuale yang menarik penyertaan masyarakat setempat serta pengunjung luar.

Turut berlangsung ialah Bazaar Warisan, Moh Cube Kraft! dan Sukan Dulu-Dulu yang mengetengahkan permainan tradisional. Sementara itu, Sembang Kuale serta aktiviti khas untuk kanak-kanak memberi ruang kepada generasi muda mendekati sejarah dan identiti tempatan.

Selain itu, turut dianjurkan Subuh Macam Jumaat, Pertandingan Khat, Pertandingan Kaligrafi Cina, Pertandingan Masakan Tradisional, Pertandingan Sepak Raga Bulatan serta Pertandingan Galah Panjang.

Acara kemuncak pada sebelah malam pula menampilkan Persembahan Malam Warisan Kuale yang menggabungkan pelbagai persembahan seni dan budaya.



Suasana

Sepanjang program, suasana di Jalan Kangsar begitu meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung. Ramai hadir mengenakan busana tradisional – daripada baju kurung, kebaya, sampin dan tanjak, hinggalah ke cheongsam dan saree. Dari kanak-kanak kecil hingga warga emas, semua tampil bergaya dengan pakaian warisan, menjadikan pemandangan penuh warna-warni dan nostalgik.

Sorakan penonton kedengaran setiap kali pertandingan berlangsung, manakala deretan gerai bazar dipenuhi pengunjung yang tidak melepaskan peluang mencuba pelbagai makanan warisan. Pada sebelah malam, pentas utama menjadi tumpuan apabila persembahan kebudayaan menghidupkan suasana dengan irama muzik dan tarian memukau.



Suara Influencer dan Artis

Beberapa personaliti tempatan turut berkongsi pandangan mereka mengenai program berwarna-warni ini.

Influencer Perak, Pakwee, berkata:

“Kuala Kangsar ni memang bandar yang cantik, tersusun dan tenang. Lagi-lagi bila ada Sungai Perak yang jadi lambang kebanggaan. Memang tak rugi datang ke sini.”

Sementara itu, Chor Azam berkata,

“Acara ni wajib diteruskan lagi. Walaupun baru pertama kali dianjurkan, suasana sangat meriah dan berjaya tarik perhatian orang ramai. Saya yakin kalau buat lagi, sambutannya akan lebih hebat.”

Bagi Api Wan Lebo influencer popular dari Kuala Kangsar berkata, sokongan masyarakat membuktikan program ini wajar diteruskan:

“Saya tengok sambutan sangat luar biasa. Bukan orang Kuala Kangsar saja, tapi orang luar pun datang. Ramai yang pakai busana tradisional, jadi suasana tu lagi hidup dan berwarna-warni.”

Artis kumpulan Senario, Wahid, turut menitipkan pesanan:

“Saya nampak banyak perubahan positif di Kuala Kangsar sejak kebelakangan ni. Cuma saya nak ingatkan, jaga kebersihan bandar kita supaya kecantikan dan keindahan ni kekal untuk generasi akan datang.”

Hari Kuale Lenggang bukan sahaja mengangkat warisan budaya Kuala Kangsar, malah menjadi jambatan penyatuan masyarakat berbilang kaum. Dengan sokongan kuat daripada pihak berkuasa tempatan, penggiat seni, influencer, peniaga serta komuniti setempat, acara ini dilihat mampu berkembang sebagai festival berprestij yang memperkukuh identiti bandar diraja di mata pelancong.



Comments

Popular posts from this blog

Bersama Menyempurnakan Rumah Allah: Pembukaan Dana Pembinaan Masjid Al-Muttaqin, Puncak Bougainvillea

JETI LEMBAH KUALE KE DATARAN LEMBAH?

PMX Umum Penghargaan Istimewa Buat Rakyat – RM100 Untuk Semua & Harga Petrol Turun!