Eddrus Mengajak Orang Ramai Tanam Padi Dalam Tong Cat Kerana Lebih Mudah Dan EFEKTIF! Bantu Tangani Krisis Ekonomi Dan Bekalan Makanan
Tidak dinafikan ekonomi Malaysia seperti ekonomi dunia dan serantau, akan berhadapan cabaran tahun ini dan pada tahun-tahun akan datang.
Program Makanan Sedunia (WFP) telahpun memberi amaran bahawa bekalan makanan boleh menjadi lebih sukar diperoleh pada tahun hadapan berikutan pelbagai krisis seluruh dunia yang berlaku serentak. Menurutnya, dunia berdepan risiko kebuluran berganda pada tahun ini dan bakal lebih buruk tahun depan termasuk kesukaran mendapatkan stok bekalan makanan dari negara luar.
“Tahun depan, disebabkan kemarau dan krisis baja pula, kita mungkin menghadapi masalah ketersediaan makanan, tidak dapat bekalan yang mencukupi dan ia akan memberi kesan buruk kepada negara miskin,"
Sehubungan itu, sektor pertanian telah mula diceburi oleh ramai pihak dalam kalangan profesional seperti jurutera, artis, bankers, pesara malahan ramai golongan muda mula memilih pertanian alternatif secara komersial atau hobi tanpa menggunakan tanah yang luas serta mudah dilakukan di ruangan yang kecil di rumah seperti penanaman sayuran.
Namun, apa yang dilakukan oleh bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini mungkin boleh menjadi satu lagi panduan dan inspirasi buat orang ramai.
Lari daripada kebiasaan, Eddrus Iskandar Abd Hamid, 35, menanam padi berskala kecil di halaman rumahnya di Kampung Kandang Hilir, Kuala Kangsar, Perak menggunakan tong cat serta tong sabun kain terpakai berbanding resam kehidupan padi di sawah.
Katanya, idea tercetus apabila melihat ibu saudaranya berjaya menghasilkan tanaman padi di dalam pasu lantas memberi inspirasi untuk mencubanya sejak pertengahan tahun ini.
Sebutir Padi Tidak Terbakar Dalam Sekam Jadi Pencetus!
Berkongsi cerita, Eddrus berkata pada permulaan ibu saudaranya menggunakan baja sekam padi untuk tanaman sayuran di rumahnya seperti cili dan sebagainya. Dalam sekam padi itu, Eddrus mendapati terdapat sebutir padi yang tidak terbakar dan dari situ dia tercetus untuk menanam padi dalam sebuah pasu.
Beliau sebelum ini telah berkhidmat dalam TLDM selama 15 tahun berkata bahawa tidak menyangka cubaannya membuahkan hasil memandangkan pada awalnya hanya ingin mencuba kerana tertarik dengan kaedah penanaman padi dalam tong cat yang mudah dan kos efektif.
"Negara Jepun dan Afrika antara negara yang tidak dikurniakan tanah yang subur tetapi bagaimana merea boleh menanam secara kreatif seperti tanam dalam pasu, tanam atas atap, dalam bangunan dan lain-lain. Sedangkan, kita yang mempunyai tanah yang subur dan tidak terkesan dengan bencana alam tidak mahu memanfaatkan kelebihan ini.
"Sangatlah rugi jika kita tidak mahu berbakti kepada tanah yang subur untuk bercucuk tanam menghasilkan keluaran sendiri ditambah pula dengan jangkaan krisis makanan yang bakal dihadapi tahun depan," katanya.
Kaedah Serupa Seperti Penanaman Di Sawah, Namun Lebih Mudah Dipantau
Menurut Eddrus, konsep penanaman padi dalam tong cat adalah sama seperti tanam di sawah termasuk dari segi pengawalan air yang mencukupi, penggunaan baja dan kandungan mineral dalam tanah yang terkawal dan cuaca yang baik. Hasil juga sama akan dituai setelah 3 bulan.
“Saya ambil sedikit benih dari tempat pemprosesan padi dan pemberian ibu saudara kemudian tanam dalam tong cat. Alhamdulillah, kini saya dapat menghasilkan kira-kira sekilo padi iaitu hasil tanaman untuk 3 hingga 4 tong cat,” katanya yang turut menanam beberapa sayur seperti cili dan bayam Brazil.
Eddrus Iskandar berkata penanaman padi dalam tong cat adalah mudah kerana tidak memerlukan banyak peralatan selain tidak perlu risau kehadiran haiwan perosak.
"Orang kita tak mahu turun ke bendang dah menghadap panas terik, kos pun makan banyak kerana berskala besar, kadang-kadang faktor cuaca juga menyukarkan mereka untuk turun tengok. Oleh itu, kita boleh menggunakan cara alternatif untuk bercucuk tanam dengan memanfaatkan halaman rumah. Macam-macam kaedah penanaman boleh digunapakai, sama ada mahu buat atau tidak," sambungnya lagi.
Beliau juga berhasrat mahu mencipta formula untuk mereka yang tinggal di kawasan taman yang tidak mempunyai tanah yang baik serta halaman yang luas supaya suatu hari nanti mereka juga mampu untuk meluangkan masa bercucuk tanam menggunakan kaedah alternatif.
![]() |
Lawatan team KKTV pada 1 Disember yang lepas |
Sistem pertukaran barang (sistem barter) boleh diamalkan semula semasa krisis makanan
“Anggaran secara kasar, 20 pasu atau tong cat padi boleh mengisi perut sebuah keluarga yang mempunyai 3 hingga 4 orang anak untuk keperluan sebulan,” katanya ketika ditanya mengenai berapa banyak hasil padi dalam tong cat boleh dimanfaatkan untuk isi rumah.
"Kita tak perlu tanam dalam skala besar, buat untuk seisi keluarga pun memadai. Cuba bayangkan kalau semua orang keluarkan hasil tanaman sendiri, kita boleh berpakat dengan jiran untuk tukar-tukar jenis tanaman/sayur yang kita ada. Apa yang kita tak ada orang lain boleh bagi dan sebaliknya. InsyaAllah kita sama-sama membantu kejiranan dan menghadapi krisis ekonomi dengan baik," sambungnya lagi.
Beliau percaya saranan kerajaan supaya rakyat di negeri ini menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri dapat membantu menangani kekurangan bekalan makanan ketika ini serta meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebelum ini turut menitahkan agar gerakan secara besar besaran dilakukan untuk memenuhi keperluan bekalan makanan negara yang ketika ini di ambang bahaya.
Comments
Post a Comment