Muzik Video 'Moh Ke Kuale' Bakal Menemui Peminat Julai Ini !

Image
Warga Kuale dan peminat seni tanah air, bersedia untuk satu naskhah yang bakal mengubati rindu! Buat julung kalinya, portal rasmi kualakangsartv.com membawakan berita eksklusif mengenai pelancaran lagu dan muzik video terbaharu, "Moh Ke Kuale" , yang dijadualkan menemui penonton pada Julai 2026 ini. Projek istimewa ini merupakan hasil terbitan VNC Production  yang berpangkalan di Kuala Kangsar . Ia bukan sekadar hiburan kosong, tetapi sebuah bingkisan seni yang dihasilkan khusus untuk mengangkat martabat, budaya, dan keindahan bandar diraja kita . Sejarah yang Tertangguh: Dari 2019 ke 2026 Lagu "Moh Ke Kuale" ini sebenarnya mempunyai kisah di sebalik tabir yang cukup panjang dan penuh cabaran: Tahun 2019: Proses rakaman awal lagu ini telah mula dijalankan . Zaman Pandemik: Projek ini terpaksa ditangguhkan seketika akibat penularan pandemik COVID-19 . Tahun 2021: Dengan bantuan KAME MUSIC PRODUCTION , rakaman audio lagu ini berjaya disiapkan sepenuhnya . J...

SYURGA MAKANAN TEPI JALAN

Pengalaman adalah guru yang sangat bernilai untuk kita mendepani kehidupan dan bagi golongan usahawan, jatuh bangun dalam perniagaan perkara wajib dilalui untuk memperoleh kejayaan lebih cemerlang pada masa depan.


Azreen Johari melayani pelanggan di gerai yang terletak di Jalan Raja Idris, Kuala Kangsar.
Foto KKTV, 28 Okt 2022

Bagi pemilik, Azreen Johari, 34, pengalaman membantu ibu bapanya berniaga sejak kecil sebelum ini membuatkannya semakin kuat dan berani untuk mengusahakan perniagaan sendiri.


Memulakan perniagaan dengan menjual pisang goreng kemudian beralih kepada rojak Singapura di pasar malam, kini beliau mengusahakan Pulut Udang King yang saiznya sebesar lengan. Azreen merasakan perniagaannya ada potensi memandangkan tidak ramai yang mengusahakan pulut udang, malah di Kuala Kangsar sendiri susah untuk dijumpai. Selain itu, menu lain seperti mi rebus udang dan lempeng pisang turut disediakan.


Pulut Udang King


Bisnes yang diusahakan bersama suami sejak tahun 2020 berjaya mendapat sambutan menggalakkan walaupun pandemik Covid­-19 mula merebak di Malaysia ketika itu.


"Mula-mula saya berniaga di Padang Rengas, tapi disebabkan sekatan jalan raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ia menyukarkan kami untuk berniaga dan pembeli untuk bergerak."


"Kami terpaksa memikirkan alternatif lain untuk meneruskan perniagaan dan akhirnya menjumpai lokasi yang strategik namun suasananya kelihatan seperti 'hambar'." tambahnya lagi.


Azreen tetap meneruskan hasrat untuk membuka gerai di tepi Jalan Raja Idris kerana percaya bahawa dia mampu untuk membangunkan dan memanfaatkan kawasan itu. Mereka turut menyediakan perhidmatan C.O.D untuk memudahkan pembeli dan membantu mengurangkan pergerakan semasa PKP.


Justeru, berkat kesabaran dan keazaman tinggi yang dimiliki Azreen, kawasan yang dahulunya 'hambar' kelihatan 'hidup' selepas gerainya mendapat sambutan dan mula dikenali, ditambah juga dengan penubuhan Klinik Kesihatan Kuala Kangsar di kawasan berhampiran.


Hal ini kerana, kebanyakan makanan yang dijual adalah berkonsepkan makanan yang telah dimasak siap untuk dimakan. Ini menarik ramai pelanggan terutamanya pekerja-pekerja sektor kerajaan yang datang membeli untuk kudapan di pejabat mahupun di rumah. 


Antara menu yang terdapat di gerainya ialah Pulut Udang King (main menu), lempeng pisang, mi rebus, mi kari, laksa, air lemon selasih, air mata kucing, puding buah, bubur, kuih muih tradisional, tauhu bergedil, spagetti dan banyak lagi. Dengan sifatnya yang ramah dengan orang, Azreen dapat mengenali pelanggan-pelanggannya sehingga menjadikan mereka sebagai pembeli setia di gerainya.










Bila tengok orang lain gembira hati saya pun jadi seronok

Buat masa ini gerai Azreen telah menerima sebanyak 28 orang pembekal yang meletakkan jualan di gerainya.


“Saya mahu membantu mengubah kehidupan golongan yang terjejas selepas pandemik dengan menjemput mereka menjadi pembekal untuk bersama-sama membangunkan empayar perniagaan ini dan meraih hasil lumayan setiap bulan.


"Saya mahu membantu seramai mungkin usahawan baharu kerana percaya, rezeki bukan milik kami semata-mata, sebaliknya ia milik Tuhan dan haruslah dikongsi bersama,” tambahnya.


Ditambah pula dengan keadaan inflasi yang kian terasa dan peningkatan harga barang-barang runcit, maka lebih ramai akan cuba mengamalkan langkah berjimat-cermat. Justeru, perniagaan makanan di gerai tepi jalan sudah pasti mampu menarik ramai pelanggan kerana makanan yang ditawarkan pada harga yang murah dan berpatutan disamping mempunyai rasa yang sedap dan memenuhi selera pelanggan.


Ujian bukan untuk difikirkan, tapi untuk diselesaikan


Bohonglah jika seseorang usahawan itu tidak diuji dengan cabaran. Namun, Azreen menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk bangkit semula.

 

"Ujian, cabaran ni semua orang melaluinya tapi saya tak mahu terlalu memikirkannya. Lebih baik saya ceria, bersemangat, buat biasa sahaja sebab masalah bila difikirkan sangat hanya akan melemahkan lagi semangat kita. Dan kalau diceritakan dan diungkit pun, bukan ada pentingnya".


"Untuk apa dicerita? Untuk orang simpati atau tolong kita? Mestilah tidak. Jadi lebih baik saya buat tidak endah je, lupakan benda yang dah berlalu supaya ia tak menjejaskan usaha kita," katanya, ketika disoal mengenai cabaran yang dilaluinya sepanjang mengusahakan perniagaan.


Bila dah mulakan sesuatu, teruskan jangan sesekali berhenti


Ditanya tentang harapan beliau terhadap produk dan perniagaan tersebut yang kini semakin menampakkan hasilnya, Azreen berharap dapat membantu lebih ramai orang yang mungkin buntu dan tiada sumber pendapatan akibat pandemik.


"Jika ada yang mahu menjadi pembekal di sini, saya mengalu-alukan. Tetapi mestilah menu yang berbeza kerana saya tidak mahu wujud persaingan, iri hati dan ada makanan yang tidak laku antara pembekal yang sama", ujarnya.


Azreen amat prihatin memastikan menu setiap pembekal habis dijual. Dia akan sedaya upaya melakukan promosi di media sosial kerana mengharapkan pembekal pulang dengan kegembiraan melihat jualannya laku. Sebolehnya Azreen tidak mahu sesiapa merasakan usahanya sia-sia sedangkan mereka perlu yakin dan percaya bahawa Allah Maha Kaya. Setiap usaha akan membuahkan hasil tidak kira cepat ataupun lambat.


Menurut Azreen lagi, apa sahaja bisnes yang mahu dibangunkan, lakukan dengan penuh kesungguhan kerana setiap usaha yang kita lakukan pada hari ini ialah pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.


"Mungkin hari ini Allah uji kita dengan satu rezeki (kurang untung) dan esoknya hanya dua rezeki (kurang untung), mana tahu hari ketiga, ke sepuluh, sebulan Allah bagi 10 rezeki?"


"Yang penting jangan iri hati dengan perniagaan orang lain dan percaya dengan Allah"


Gambar fail


Begitulah seorang pengusaha gerai jalanan yang sering berkongsi kisah inspirasi serta nasihat yang bernas yang boleh dijadikan pedoman buat kaki bisnes di luar sana.


Jangan pernah mengeluh dan terus pandang ke hadapan!

Comments

Popular posts from this blog

Dari Baung Tempoyak ke Kulat Sisir — Inilah Rasa Asli Masakan Kampung Perak di Restoran Jari Delima!

Hari Kuale Lenggang Serikan Kuala Kangsar, Bukti Bandar Diraja Kaya Budaya

Bersama Menyempurnakan Rumah Allah: Pembukaan Dana Pembinaan Masjid Al-Muttaqin, Puncak Bougainvillea